Nota Umrah DIY kesal isu bendera Israel dimanipulasi
SHAH ALAM - Pengendali Facebook Nota Umrah DIY kesal apabila video trip pelayaran mengelilingi Tasik Galilee atau Tiberias, Palestin pada Disember 2019 ditularkan dan dimanipulasi sebagai video baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Melalui perkongsian di Facebook pada Rabu, pengendalinya memaklumkan video yang memaparkan bendera Israel dan Malaysia itu diambil sewaktu Trip Mega 1.0 (Umrah DIY Jordan Palestin).
“Kami berasa kesal dan terkilan kerana klip video berkenaan dimanipulasikan oleh individu atau pihak tertentu untuk kepentingan masing-masing.
“Kami ingin menafikan video tersebut bukan diambil selepas PRU15 yang lalu dan menegaskan ia adalah video lama, diambil pada bulan Disember 2019. Ia tiada sebarang kaitan dengan kerajaan Malaysia mahupun Israel, sama ada kerajaan dahulu atau yang sekarang,” jelasnya.
Nota Umrah DIY turut memaklumkan, bagi yang pernah mengikuti lawatan ke Palestin dan menaiki bot mengelilingi Tasik Galilee, kebiasaannya mereka akan melalui detik pengalaman yang serupa.
“Ia berlaku secara spontan tanpa kami ketahui dari awal. Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik, kami lantas bangun berdiri apabila lagu Negaraku dikumandangkan walau di mana jua kami berada,” katanya.
Video berdurasi 34 saat itu kembali tular sejak Selasa dan mencetuskan persoalan ramai apabila lagu Negaraku dikatakan berkumandang di Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!