Dua lelaki diberkas pecah masuk pejabat, curi lori

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Polis memberkas dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk pejabat di Jalan Temenggung 1, Taman Sentosa Perdana 2 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek berumur 30 dan 35 tahun itu ditahan di Taman Sentosa serta Jalan Besar di sini.

"Laporan dibuat oleh seorang kontraktor elektrik berkaitan pejabatnya telah dipecah masuk menerusi bahagian pintu hadapan dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi pada 28 November lalu.

"Mangsa mendakwa telah kehilangan enam wayar terpakai, satu generator dan sebuah lori dengan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM15,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, hasil siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek terlibat datang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek memecahkan kunci mangga pintu hadapan pejabat dengan menggunakan mesin pemotong besi.

"Suspek kemudiannya melarikan diri bersama barangan yang dicuri dengan menggunakan lori milik mangsa yang diletakkan di hadapan pejabat tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penangkapan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Dua suspek tersebut diberkas anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 12.10 tengah malam.

"Semakan rekod dijalankan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah serta

dadah," katanya.

Ujar Hoong Fong, kedua-dua suspek kini direman empat hari bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!