PRU15: Calon PH, BN di Padang Serai disaran tarik diri

Azman
Azman
A
A
A

PADANG SERAI - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mencadangkan agar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivaraj menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua calon harus menunjukkan kesepakatan memandangkan kedua-dua parti dan gabungan diwakili mereka sudah bersama dalam kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PH dan BN berada dalam satu gabungan kerajaan, namun bersaing sesama sendiri dalam perebutan Parlimen Padang Serai.

"Kalau kedua-duanya nak tarik diri lagi elok sebab kedua-duanya bertentangan dalam prinsip perjuangan.

“PH dengan cara mereka, BN pula cara lain, tapi PN kekal dengan prinsip perjuangan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Azman berkata, PN yakin pengundi Padang Serai sudah celik politik dan bijak memilih pemimpin atau parti yang boleh membela nasib mereka dalam Parlimen.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Azman, Sofee, Sivaraj, selain Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Dalam pada itu, Azman menyifatkan pihak lawan sudah ketandusan idea apabila terus melabel beliau sebagai pengkhianat dalam kempen politik mereka.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu berkata, keputusan meninggalkan PKR pada 11 Mei 2020 dibuat selepas mendapati perjuangan PH tidak lagi selari dengan jiwanya.

"Sudah beberapa kali saya jelaskan perkara ini termasuk dalam siri ceramah sebelum ini.

“Nampaknya pihak lawan saya kehabisan isu, sebab itu isu lama dan sudah pun selesai dibangkitkan lagi. Saya ambil keputusan bersama PN, nak berlawan gunalah isu baik sikit, yang diterima pengundi," katanya lagi.

Menurutnya lagi, pengundi pada 2018 lalu tentunya sedar akan keperluan memilih parti yang prihatin, bersih, stabil dan menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum.

Pada 12 Mei 2020, Azman yang sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kedah mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan Azman bersama ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah sejak 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!