'Saya cukup Malaysia' - Aguero
PEMAIN naturalisasi Sri Pahang FC, Sergio Aguero percaya dia layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di sebalik kritikan segelintir pihak yang melabelnya 'tidak cukup Malaysia' untuk mewakili Harimau Malaya.
Menurut Aguero, dia sudah berada di negara ini selama enam tahun dan kini hanya menunggu masa untuk memberikan impak positif kepada skuad kebangsaan.
"Sudah tentu (saya cukup Malaysia untuk mewakili negara). Saya berada di sini selama enam tahun. Saya dapat banyak tawaran, tetapi saya tetap pilih untuk wakili Malaysia.
"Saya sayangkan negara ini. Saya sukakan segala-galanya di sini," katanya kepada media selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana jaya pada Khamis.
Sebelum ini, Aguero dilabel sebagai 'tidak cukup Malaysia' oleh segelintir penyokong untuk mewakili Harimau Malaya.
Aguero antara muka baharu yang disenaraikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Disember.
Dalam pada itu, Aguero meminta peminat dan penyokong bola sepak tanah air untuk mempercayai kemampuannya mewakili Harimau Malaya.
"Saya akan bekerja keras untuk memastikan jurulatih memilih saya. Latihan disini juga sangat sukar dan saya akan membiasakan diri. Namun, saya sudah bersedia untuk mewakili negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!