'Tunggu sahaja PM umum barisan kabinet'
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang dijangka diumumkan pada Jumaat.
Salahuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, pihaknya percaya Perdana Menteri akan membuat pilihan yang terbaik sebelum mengumumkan barisan kabinet kali ini.
"Tunggu sahaja pengumuman Perdana Menteri esok (Jumaat).
"Lagi pun, saya sebenarnya tidak mahu mengulas mengenai perkara ini kerana bagi saya biarlah ia ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.
"Saya juga percaya, Perdana Menteri akan membuat keputusan terbaik dengan memilih individu terbaik dalam kalangan kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Tampoi bagi meninjau keadaan rumah serta gerai yang mengalami kerosakan akibat ribut, Rabu lalu.
"Dimaklumkan terdapat 20 hingga 30 rumah termasuk gerai-gerai yang terjejas akibat atap diterbangkan ribut.
"Kita telah maklumkan kepada Datuk Bandar dan kita juga diberikan token (sumbangan), tapi tak banyaklah.
"Sebagai Ahli Parlimen, saya juga akan suarakan segera permintaan khas kepada Perdana Menteri mengenai perkara-perkara kecemasan seperti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!