Kisah 'Apek Paper Lama' surat khabar dan sikap orang kita

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

AHAD lalu, bunyi hon lori ‘Apek Paper Lama’ (gelaran orang taman Merak Jalanan kepadanya) membuatkan kami tersentak daripada tidur. Malas nak keluar sebab tiada apa lagi nak dijual.

Namun, Merak Jalanan tetap buka pintu: “Apek, tiada barang, surat khabar ada satu sahaja, saya nak simpan.”Sahut lelaki berusia 75 tahun itu yang sudah nampak uzur:

“Saya tahu, sudah enam, tujuh bulan awak tak simpan surat khabar. Sekarang surat khabar memang kurang cetakkah? Di stesen minyak tak banyak jual. Itu sebab saya rasa budak-budak muda malas membaca, awak pun tak bacakah?” Merak Jalanan tersenyum mendengar pernyataan seorang warga emas yang hanya menonton berita Nightline serta program hiburan Cina sahaja.

Merak Jalanan keluarkan telefon bimbit, lalu tunjukkan laman web termasuk aplikasi seperti Facebook, Instagram dan TikTok kepadanya.

“Apek, saya baca surat khabar guna telefon. Nightline yang Apek tengok tiap-tiap malam tu, saya boleh akses dalam telefon. Lagi senang, tak payah beli. Semua ada,” kata Merak Jalanan.

Pun demikian, tiada riak wajah teruja pun yang ditonjolkan, sebaliknya dia mencemik seolah-olah menunjukkan tanda tidak bersetuju.

Menyimpulkan reaksi balasnya selepas itu, Apek itu berkata, ketaasuban terhadap teknologi telah menghakis nilai-nilai murni dan kurang bertimbang rasa dalam kalangan masyarakat terutama anak muda.

“Patutlah budak sekarang kurang adab. Kadang-kadang ibu bapa pun sama, asyik ‘hadap’ telefon sampai tak hormat orang tua. Lagi satu, saya rasa surat khabar atau buku kena cetak lebih banyak untuk galak orang membaca, itu penting kepada negara kita,” tegasnya dan terus meninggalkan Merak Jalanan.

Artikel Berkaitan:

Barangkali, Apek ini kurang arif tentang rentak dunia persuratkhabaran kita tetapi tentang adab, akhlak dan nilai moral yang dipertikaikannya, memang ada kebenarannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!