PRU15: Pengundi awal Padang Serai, Tioman mengundi esok
KUALA LUMPUR - Anggota keselamatan dan pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok.
Satu pusat pengundian awal melibatkan dua tempat mengundi atau saluran awal akan dibuka pada 8 pagi bagi Parlimen Padang Serai manakala dua pusat pengundian awal dengan dua saluran akan digunakan untuk DUN Tioman.
Menurut senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan bagi kedua-dua pilihan raya ini, terdapat 76 anggota polis bagi Parlimen Padang Serai manakala 262 anggota polis di DUN Tioman.
Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) menyarankan semua pihak yang hadir ke pusat mengundi esok, agar mematuhi prosedur operasi standard perlindungan diri, dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa mensanitasi tangan.
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya pada 16 November lepas manakala pengundian DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, pada 3.30 pagi hari pengundian (19 November lepas), yang dipercayai akibat serangan jantung.
Proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 November lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian.
Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu); Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional (BN)-MIC); Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra); Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).
Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.
DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN, Nor Idayu Hashim; Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.
Keputusan PRU15 pada 19 Nov lepas menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!