Rakyat dah kalis 'bius'
KUALA TERENGGANU - Kemenangan BN dalam PRK Dun Rantau semalam membuktikan protes secara terbuka ditunjukkan rakyat negara ini terhadap prestasi kerajaan hari ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, kemenangan itu juga jelas menunjukkan rakyat kini memberi tumpuan terhadap setiap tindak tanduk kerajaan.
"Zaman sekarang rakyat susah nak kena 'bius' walaupun PH menampilkan calon pakar bius. Tahap 'waspada' rakyat kini begitu tinggi. Kita turun kereta dengan kaki kiri atau kaki kanan pun rakyat perhati.
"Masuk kampung tak turunkan cermin kereta kena komplen. Apatah lagi bila janji sebesar gajah dibuat-buat tak nampak," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, majoriti pengundi akan mengambil kira prestasi semasa kerajaan Pusat yang sedang memerintah, sebelum mereka membuat pilihan.
"Walau di mana pun PRK diadakan. Isu besar sekarang ialah protes rakyat secara terbuka terhadap prestasi kerajaan PH.
"Memang satu senario baru dalam politik negara bila parti yang menguasai Putrajaya kalah tiga kali berturut-turut dalam PRK. Ia tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad Hasan mendapat 10,379 undi dan Dr S Streram meraih 5,887 undi.
Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!