Shah Rukh Khan tunai umrah
MAKKAH - Aktor Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan dilaporkan menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem berjudul Dunki di bawah arahan Rajkumar Hirani di Arab Saudi.
Beberapa gambar dan video beliau dalam keadaan memakai ihram serta memakai pelitup muka dengan diiringi beberapa pengawal keselamatannya tular di media sosial pada Khamis.
Menerusi ruangan komen di Instagram kelab peminat bintang berusia 57 tahun itu, kebanyakan pengikut akaun itu teruja dan memanjatkan rasa syukur.
"Semoga beliau bersama keluarganya sentiasa dilindungi ALLAH. Saya sangat gembira melihat hasratnya untuk menziarahi Makkah tercapai," kata salah seorang peminatnya.
Difahamkan, Shah Rukh Khan atau lebih dikenali dengan nama SRK dijadualkan akan menghadiri Red Sea Film Festival di Jeddah.
Sebelum ini, beberapa selebriti Bollywood termasuk Dilip Kumar dan Aamir Khan pernah menunaikan Rukun Islam Kelima dan ibadah umrah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!