[VIDEO] BN dijangka tarik diri, beri laluan kepada PH di Padang Serai
ALOR SETAR - Sehari sebelum pengundian awal diadakan di Parlimen Padang Serai, spekulasi mula bertiup kencang mengatakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj dijangka menarik diri bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi berkenaan.
Tindakan itu dipercayai diputuskan pada saat akhir bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak bertanding atas kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Spekulasi berhubung perkara itu semakin jelas apabila Sivaraj membatalkan semua kempennya di Padang Serai bermula Khamis.
Ia dikuatkan lagi dengan adanya ceramah perdana yang menggabungkan pimpinan PH dan BN pada malam ini di Taman Desa Aman, yang akan dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.
Pengumuman berhubung perkara itu dijangka dilakukan pimpinan negeri kedua-dua parti di pentas ceramah kedua gabungan berkenaan, selepas kali pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman beberapa hari lalu.
Difahamkan, BN membuat keputusan itu selepas PH mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi kerusi DUN Tioman untuk memberi laluan kepada calon BN pada Selasa lalu.
Ia bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan atas prinsip menghormati kesepakatan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai kedua-dua parti, selain dilihat sebagai strategi timbal balik agar gabungan tersebut memenangi kerusi berkenaan.
Percaturan berkenaan juga dilihat lebih adil apabila DUN Tioman diserahkan kepada BN, manakala Padang Serai kepada PH memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan di kerusi yang ditandingi.
Atas dasar itu, kemungkinan pimpinan PH dan BN negeri mencapai kata sepakat selepas mesyuarat yang dipengerusikan Jamil Khir pada malam Khamis.
Sebelum ini, Sivaraj menegaskan tidak akan menyerahkan kerusi tersebut kepada PH dan terus berkempen kerana tidak menerima sebarang arahan daripada pimpinan BN bagi memberi laluan kepada pencabar lain.
Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PKR Kedah dan Setiausaha PH Kedah sebelum ini menyarankan agar BN berkompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan PN di Padang Serai.
Menurutnya, kemenangan di Padang Serai yang tertangguh akan menjadi hadiah bermakna untuk diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH selepas berjaya menubuhkan kerajaan Persekutuan.
Teladan yang ditunjukkan calon PH bagi kerusi DUN Tioman di Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, dilihat harmoni selain membuktikan gabungan Kerajaan Perpaduan boleh dicapai sekiranya semua pihak berjiwa besar dan berlapang dada menerima sebarang perubahan.
Selain Sivaraj dan Mohamad Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).
Bagaimanapun calon Warisan turut menarik diri lebih awal dan menyatakan sokongan kepada calon PH.
PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember sebagai tarikh pengundian dan pengundian awal pada esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!