[VIDEO] Anwar kembali ke Tambun sebagai PM
IPOH - Setelah sembilan hari dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen Tambun bertemu rakyat dan pengundi hari ini.
Setiba di Perak, Anwar menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini kira-kira jam 10 pagi.
Seusai menghadap, Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya terus ke Pasar Awam Tanjung Rambutan meluangkan masa kira-kira 10 minit bertemu masyarakat setempat.
Anwar kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati dan selepas itu menghadiri Kenduri Rakyat di pekarangan masjid berkenaan yang dihadiri ribuan penduduk berhampiran.
Pada 20 November lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menang di Parlimen Tambun dengan memperoleh 49,625 undi dan majoriti sebanyak 3,736 undi.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menewaskan pencabar utama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi memperolehi 45,889 undi sementara calon Barisan Nasional, Datuk Aminuddin Md Hanafiah mendapat undian sebanyak 28,140 dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Abdul Rahim Tahir sebanyak 1,115 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!