Bekas pemandu e-hailing miliki dadah RM6.14 juta ditahan
SHAH ALAM - Disebabkan mengejar pendapatan lumayan antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan, seorang lelaki sanggup terjerumus dalam kancah pengedaran dadah.
Namun, penglibatan bekas pemandu e-hailing selama dua bulan dalam pengedaran dadah itu tidak bertahan lama apabila suspek diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway di sini pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Subang Jaya kira-kira jam 3 petang.
"Hasil serbuan berjaya menahan suspek berumur 49 tahun bersama 166 bungkusan plastik terdiri daripada 111 bungkusan teh Cina dan 55 bungkusan plastik lut sinar mengandungi dadah dipercayai methapatamine.
"Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 170.58 kilogram bernilai RM6.14 juta dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapat lokasi serbuan dijadikan tempat simpanan dadah tersebut.
"Siasatan dijalankan mendapati rumah tersebut disewa sindiket dengan harga sekitar RM2,300 sebulan yang dijadikan sebagai stor penyimpanan bahan terlarang tersebut.
"Dadah tersebut dijual dengan harga RM35,000 mengikut pasaran gelap bagi setiap satu kilogram," katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan penglibatan individu lain dalam sindiket pengedaran dadah ini.
"Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City yang dianggarkan bernilai RM18,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana dadah ini dibawa masuk untuk pasaran di negara ini," katanya.
Ujar Sasikala, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
"Suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dari sebarang pengaruh dadah," katanya.
Tambahnya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!