Bayi perempuan 10 bulan maut kemalangan
JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas kereta dinaikinya bersama tiga ahli keluarga terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di sini, awal pagi tadi.
Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal yang berada dalam tempat duduk bayi yang diletakkan di kerusi hadapan kereta itu, maut disebabkan kecederaan parah di kepala selain luka di badan dan kaki dalam kejadian kira-kira 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai bersama tiga lagi ahli keluarganya menaiki kereta jenis Produa Kenari dari arah Stulang Laut menghala ke rumah mereka di Taman Tampoi Utama.
"Mereka dilanggar sebuah Mercedes E250 dari arah belakang mengakibatkan kereta mereka jenis Perodua Kenari terbabas ke kiri jalan lalu terlanggar batu pembahagi jalan sebelum berpusing sejauh 30 meter dan terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu turut mengakibatkan kecederaan parah kepada bapa dan ibu mangsa, Mohamad Nirzaudy Haiqal Abdullah, 29, dan Wan Nur Izzaty Wan Mohd Zaffar, 22, yang kini dirawat di wad Zon Merah, Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Seorang kakaknya iaitu Nur Auliya Maisara berusia 2 tahun pula sekadar cedera ringan di kaki kiri, manakala mangsa meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HSA
“Ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu kereta Mercedes itu dan mendapati suspek negatif semua jenis dadah, namun suspek berusia 43 tahun itu tetap ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!