Ahmad Zahid, Fadillah dinamakan Timbalan Perdana Menteri
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan bersejarah dengan melantik dua Timbalan Perdana Menteri yang membantunya mengemudi Kerajaan Perpaduan.
Seperti yang diramalkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dilantik menjawat jawatan itu.
Ahmad Zahid turut memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Fadillah turut diamanahkan terhadap Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Pengumuman itu dibuat Anwar dalam sidang akhbar pada malam Jumaat yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam pengumumannya, seramai 28 orang menteri dilantik membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Perdana Menteri berkata, urusannya di Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak mengambil upah dan diketuai oleh bekas Presiden dan Pengarah Eksekutif Petronas, Tan Sri Hasan Merican.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia akan diadakan pada jam 3 petang esok.
"Satu pertemuan dengan semua menteri akan diadakan untuk memaklumkan mengenai beberapa peraturan dan hala tuju serta kaedah baharu yang akan diperkenalkan sebagai pemusatan usaha dalam tugas masing-masing," katanya.
Jelas Anwar, kerajaannya akan mengutamakan tata kelola dan tadbir urus yang baik.
"Hala tuju baharu diperkenalkan dengan maksud menjalankan kerja dan mengelakkan segala kecurigaan, pembaziran, rasuah serta penyalahgunaan kuasa," katanya.
Sementara itu Anwar berkata, pengumuman timbalan menteri akan dibuat kemudian.
Dalam barisan kabinet itu juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.
Kementerian Dalam Negeri akan dipimpin oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bekas Menteri Kewangan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pula dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar Negeri.
Keempat-empat akan mengangkat sumpah sebagai senator pada pagi esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!