Rebah sebelum sempat memancing
KUALA KURAU - Hasrat seorang warga emas memancing bersama rakan tidak kesampaian apabila rebah tidak sedarkan diri di dalam sebuah sampan di jeti nelayan Kampung Raja Bashah di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa Abu Talib Sa'ad,61, berasal dari Kamunting, Taiping meninggal dunia dalam perjalanan ke lokasi memancing dirancang.
Saksi kejadian enggan dikenali berkata, mangsa dan beberapa rakannya baru sahaja tiba dari Kamunting, Taiping untuk memancing di kawasan laut.
"Mangsa dan kawan-kawannya baru sahaja menaiki sebuah bot dipercayai disewa di sini sebelum dikatakan rebah secara mengejut dan tidak sedarkan diri.
"Kawan-kawan mangsa segera meminta bantuan kecemasan daripada petugas Klinik Kesihatan Kuala Kurau tapi mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang sampai di lokasi kejadian," katanya kepada media di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan mengetahui punca sebenar kematian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!