Pemuda UMNO Johor ucap tahniah
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mengucapkan tahniah kepada ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal atas lantikannya sebagai Menteri Besar Johor ke-17 yang telah berkuat kuasa hari ini.
Lantikan yang telah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu susulan peletakan jawatan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian sebagai menteri besar sebelum ini.
Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, pihaknya berharap pemimpin tersebut dapat melaksanakan tugas dengan baik selain memastikan kemelut pertukaran jawatan tertinggi itu tidak akan berulang.
"Masalah peribadi, disiplin dan kepentingan keluarga perlulah dibuang jauh-jauh oleh menteri besar yang baru ini agar kemelut dan permasalahan seperti ini tidak akan berulang.
"Pemuda UMNO Johor juga melihat pelantikan Sahruddin sebagai menteri besar ini juga menunjukkan kebijaksanaan dan keprihatinan Tuanku Sultan terhadap kelangsungan sebuah kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Hairi berkata, pihaknya juga akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri dengan menjadi ejen semak dan imbang terutamanya berkenaan pembangunan dan kemajuan di negeri ini.
"Kami akan terus memperjuangkan suara-suara rakyat agar tidak tertindas dan tidak akan teragak-agak menegur salah laku yang dilakukan kerajaan.
"Untuk ini, menteri besar khususnya perlulah menjaga kepentingan rakyat dan negeri Johor berbanding desakan atau suruhan dari pihak tertentu. Jadi 'pak sanggup' kepada rakyat akan lebih dihargai berbanding kepentingan pihak lain-lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!