Jemaah Menteri perlu elak pembaziran: Anwar
PUTRAJAYA - Jemaah Menteri yang menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media pengumuman kabinet beliau pada Jumat, Anwar berkata, anggota kabinet perlu mengutamakan tata kelola yang baik semasa melaksanakan tugas masing-masing.
"Saya tetapkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan utamakan tata kelola dan good governance dan isu yang harus diambil untuk ringkankan beban rakyat.
"Fokus utama tetap adalah pemacuan ekonomi,” katanya ketika mengulas sama ada terdapat KPI (Indeks Prestasi Utama) tertentu diletakkan terhadap Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan khas dengan Jemaah Menteri bagi membincangkan peraturan dan hala tuju setiap kementerian.
"Kaedah baharu (akan) diperkenalkan, dengan maksud memusatkan usaha dalam menjalankan kerja dan elakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.
Anwar pada Jumaat mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!