Pelantikan TPM satu pengiktirafan buat GPS, Borneo: Fadillah
KUCHING - Biarpun baharu dilantik sebagai rakyat pertama dari Borneo selaku Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan jawatan sebagai pemimpin kedua terpenting Malaysia sebagai satu amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.
"Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara," katanya dalam satu kenyataan susulan pengumuman kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam Jumaat.
Beliau berharap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina negara yang stabil, maju dan makmur yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
Fadillah, 60, juga Naib Presiden Kanan bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi bahagian utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah menjadi wakil rakyat Petra Jaya sejak 2004.
Anwar mengumumkan istiadat angkat sumpah Jemaah Menteri akan berlangsung pada Sabtu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!