PRU15: Jentera BN sedia pastikan PH menang di Padang Serai
PADANG SERAI - Jentera Barisan Nasional (BN) bersedia berganding bahu bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tekad itu demi mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat Nasional yang ditubuhkan bersama PH dan BN.
"Sudah semestinya jentera BN di sini bersedia untuk sokong calon PH sebab itu kita adakan majlis pengumuman khas pada hari ini.
"Apa yang kita buat bukan lagi membantu calon PH tetapi kita bersama atas nama Kerajaan Perpaduan, sebab itu BN dan PH akan memastikan kemenangan pada 7 Disember nanti," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman khas PH yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha di sini pada Jumaat.
Dalam majlis itu, Jamil Khir mengumumkan calon BN menarik diri dan memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak bagi menghadapi saingan dalam PRU15 kali ini.
Ditanya mengapa keputusan itu (menarik diri) dibuat pada saat akhir yang mana tempoh berkempen hanya berbaki lima hari sahaja lagi, beliau berkata, ia bukan soal lambat atau tidak sebaliknya beberapa perkara perlu diambil kira termasuk dengan pelantikan kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!