'Pelantikan Zahid bukan seperti diharapkan rakyat' - Mazlan

Mazlan
Mazlan
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan seperti yang diharapkan kebanyakan rakyat malah jumlah kecil mewakili Sabah dalam pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan sedikit mengecewakan.

Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan @ Joehari Manan menyifatkan barisan kabinet yang dibentuk mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan ras negeri itu, namun masih mempunyai kelompongan era reformasi yang diharapkan rakyat dalam senarai tersebut.

"Penyenaraian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM sudah tentu bukan seperti yang diharapkan oleh rakyat kebanyakan, namun dengan deretan senarai nama baharu sebagai menteri penuh diharapkan mampu membawa perubahan dan reformasi yang dilaungkan sebelum ini.

"Bagi kami anak muda belia Sabah juga cukup menyokong penuh pelantikan ahli Parlimen muda dan baru iaitu Datuk Armizan Mohd Ali dan Datuk Ewon Benedick dalam senarai kabinet kerajaan.

"Aspirasi perjuangan mereka sebelum ini sudah tentu mampu membawa perubahan yang ingin direalisasikan dalam kerajaan Malaysia, namun jumlah kecil wakil Sabah dalam kabinet kerajaan sedikit mengecewakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Susulan itu, Mazlan berharap, akan ada lantikan dan tanggungjawab yang lebih signifikan kepada wakil dari Sabah dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nanti yang mampu membawa bersama aspirasi rakyat di negeri ini.

Dalam pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, hanya dua wakil dari Sabah dilantik sebagai menteri penuh iaitu Datuk Ewon Benedick dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Armizan Mohd Ali dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ewon dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Armizan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Artikel Berkaitan:

Anwar turut mengumumkan dua TPM iaitu Ahmad Zahid mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!