PH Johor akan segera susun gerak kerja
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor akan segera menyusun gerak kerja bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri, susulan pelantikan menteri besar yang baharu, Dr Sahruddin Jamal.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan dari sudut portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor serta individu yang bakal dilantik.
Menurutnya, bagaimanapun perkara itu belum dapat dipastikan buat masa ini, dan ia bergantung kepada keputusan akhir dibuat oleh konsensus PH Johor akan datang.
"Gerak kerja itu akan disusun sebaik mungkin. Mungkin ada sedikit perubahan dari segi portfolio. (Tapi) itu saya tak pasti lagi. Dan mungkin ada perubahan individu juga. Itu kena tengok keputusan akhir konsensus," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, pelantikan Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong sebagai Menteri Besar Johor baharu dilakukan melalui perbincangan di peringkat negeri dan pusat.
Katanya, perkara sama juga membabitkan pelantikan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Sahruddin yang bakal menyaksikan berlakunya rombakan.
"Bermakna ia bukan pelantikan secara semberono. Tetapi pelantikan yang dibuat melalui perbincangan semua pihak khususnya parti-parti dalam PH.
"Dan selepas itu kita ajukan (mohon perkenan) kepada pihak istana. Apabila pelantikan itu telah dipersetujui (diperkenan) di semua peringkat, kita akan buat kerja. Sekarang ini bekerja itu lebih utama daripada yang lain," katanya.
Beliau berkata, PH Johor yang berjaya membentuk kerajaan negeri pasca PRU14 akan melakukan terbaik dalam merealisasikan hasrat rakyat Johor yang ingin melihat kepada perubahan.
"Kita telah buat beberapa pendekatan yang tidak dibuat kerajaan sebelum ini. Demi kepentingan rakyat, kita akan teruskan lagi agenda-agenda yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!