'Pengundi DUN Tioman mula terima kerjasama BN-PH'

Mohd Johari Hussain
Mohd Johari Hussain
A
A
A

ROMPIN - Calon BN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendakwa rata-rata pengundi di sini sudah faham dan dapat menerima keputusan BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Mohd Johari berkata, melalui penjelasan berterusan oleh pucuk pimpinan dan beliau sendiri, isu itu sudah kurang ditimbulkan.

Menurutnya, proses penerangan berhubung isu itu akan diteruskan dalam tempoh kempen PRU15 DUN Tioman yang berbaki beberapa hari lagi.

"Kita akui ramai yang tersentak dengan keputusan ini awalnya tetapi melalui penjelasan berterusan tentang situasi sebenar kerjasama ini, alhamdulillah rakyat sudah dapat menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, menjelang saat akhir kempen, beliau mengarahkan jentera BN agar bergabung bersama jentera PH bagi menyemarakkan aktiviti kempen secara dari rumah ke rumah untuk menemui pengundi.

"Kempen juga perlu agresif dengan strategi lebih berkesan termasuk menyantuni pengundi melalui sentuhan peribadi untuk menarik sokongan mereka.

"Tidak perlu aktiviti berskala besar yang penting gerak kerja kempen ini berterusan dan bergerak bersama antara jentera BN dan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Johari berkata, gerak kerja bersama telah dilaksanakan selepas kesepakatan antara BN dan PH dimulakan beberapa hari lalu.

"Kerjasama ini penting kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada kempen malah dapat membantu kemenangan BN," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!