Rakyat harap Exco Pahang baharu berfungsi dengan baik
KUANTAN - Rakyat di negeri ini mengharapkan 10 Exco Kerajaan Pahang yang dilantik dapat berfungsi dengan baik seterusnya memastikan nasib rakyat terbela.
Itu antara harapan rakyat ketika tinjauan Sinar Harian mengenai pelantikan Exco Pahang yang mewakili Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan blok parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ejen insurans, Ahmad Kamal Ahmad, 33, berkata, kepimpinan kerajaan Pahang yang turut dibarisi golongan muda diharap dapat membawa idea baharu bagi pembangunan negeri itu.
Menurutnya, exco yang baharu dilantik perlu memikul tanggungjawab berkesan dan lebih cemerlang berbanding dengan sebelum ini.
"Kalau boleh, kita mahu exco baharu ini dipantau sepenuhnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana pada penggal lalu sesetengah exco tidak berfungsi dengan selayaknya.
"Kali ini kita harapkan semua barisan exco dilantik dapat memikul amanah sebaiknya dan bekerja bersungguh-sungguh untuk kepentingan rakyat serta negeri," katanya.
Senada dengan itu, Jefri Salim, 45, yang bekerja sendiri mahu exco kerajaan negeri berperanan dengan lebih baik untuk rakyat marhaen.
Dia memaklumkan berpuas hati dengan barisan kepimpinan exco dilantik kerana turut menampilkan muka baharu secara keseluruhannya.
"Tujuh pemimpin baharu ditampilkan dan ini pasti akan memberi perubahan kepada pentadbiran di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Harap belanjawan yang dibentangkan sebelum ini dapat diteruskan dengan jayanya," katanya.
Ahli perniagaan, Mohd Safuan Abu Bakar, 38, pula berkata, ramai muka baharu yang ditampilkan dalam pentadbiran di Pahang hasil gabungan blok politik antara BN- PH.
Jelasnya, ini sudah cukup membuktikan bahawa jajaran baharu itu dapat membawa pembaharuan kepada pentadbiran di Pahang.
"Rakyat berharap belanjawan yang di bentangkan oleh kerajaan Pahang dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan pembentukan exco baharu," ujarnya ringkas.
Alia Fasha Jalani, 36, memaklumkan sebagai anak jati Pahang semestinya mahu barisan exco yang dilantik dapat melaksanakan tugas diamanahkan dengan penuh ikhlas.
"Sebelum ini, pelbagai rungutan dapat didengar oleh rakyat berkenaan isu exco tidak berfungsi. Kali ini kita berharap pemimpin yang dipilih lebih tanggungjawab.
"Selain itu, kita mahu Wan Rosdy supaya lebih peka tentang portfolio exco-exco beliau supaya kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dibela," jelasnya.
Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir, 52, yang merupakan ahli perniagaan berharap lantikan exco baharu dapat membawa perkembangan ekonomi lebih baik kepada negeri pahang
"Kerajaan Pahang perlu bekerja kuat dan memainkan peranan penting dalam memajukan negeri melalui kerjasama barisan exco yang terdiri daripada muka baharu serta lama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!