Kabinet baharu gambarkan negara tak serius tangani rasuah
PADANG SERAI - Barisan kabinet yang baharu dilantik didakwa menggambarkan kepada dunia seolah-olah Malaysia tidak serius menangani isu rasuah.
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mendakwa, pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikhuatiri memberi impak negatif kepada negara.
"Ia memberi gambaran kepada dunia bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini melaungkan reformasi tolak rasuah, kleptokrasi dan sebagainya terpaksa tunduk kepada Zahid Hamidi yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
"Kita bimbang ia beri kesan buruk kepada negara apabila pelabur dari seluruh dunia yang mungkin melihat Malaysia tidak serius dan sambil lewa sahaja untuk membanteras rasuah," dakwanya.
Beliau ditemui media ketika hadir ke pertandingan bola keranjang di pekan Lunas di sini pada Sabtu.
Jelasnya, situasi itu turut akan memberi kesan dan impak bukan hanya kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tetapi seluruh rakyat termasuk penyokong PN.
"Kita tahu Anwar dah lama impikan nak jadi Perdana Menteri tetapi demi nak pertahankan kuasa, prinsip perjuangan menentang rasuah kini menjadi retorik semata-mata," dakwanya.
Menurut Azman, tindakan yang dibuat Anwar kemungkinan ditolak pengundi Melayu termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.
"Saya yakin orang Tionghua yang selama ini beri sokongan kepada PH kecewa atas pelantikan Zahid yang melawan prinsip dipertahankan.
"Mereka mahukan pemimpin bersih dari salah laku rasuah dan pemimpin yang ada kes sepatutnya tidak dilantik," katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru pengundi Tionghua di Padang Serai beralih sokongan kepada PN sebagai signal jelas menolak pemimpin dikaitkan dengan rasuah.
Ditanya berhubung tindakan Perdana Menteri tidak melantik pemimpin PH yang terpalit kes mahkamah, Azman berkata, tindakan itu 'double standard' terhadap mereka.
"Nampak sangat (dengan) tidak melantik Lim Guan Eng dan Syed Saddiq tu tidak menjejaskan kedudukan Perdana Menteri, mungkin tidak berlaku protes dan sebagainya.
"Beliau (Anwar) tahu jika Zahid tidak dilantik, beliau akan jatuh dari tampuk kuasa, mungkin mereka akan tarik sokongan," dakwanya.
Azman turut menyatakan kebimbangan terhadap kes pendakwaan yang dikaitkan terlepas begitu sahaja apabila pemimpin didakwa terlibat rasuah menganggotai kabinet.
Dalam perkembangan berlainan, Azman turut yakin mendapat sokongan kaum India apabila BN membuat keputusan memberi laluan kepada calon PH dalam PRU15 Parlimen Padang Serai.
"Mereka rasa penyokong BN akan menyokong PH, sebenarnya ia tidak semudah itu, saya dapat maklumat, orang India sangat marah dengan tindakan yang dikenakan ke atas calon BN, Datuk C Sivaraj yang perlu tarik diri di saat akhir dan dipercayai mereka akan buat undi protes seterusnya mengundi calon PN," katanya.
Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon M Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November iaitu tiga hari sebelum PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember 2022 sebagai hari pengundian bagi Parlimen Padang Serai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!