Remaja 15 tahun ditahan kes rogol gadis bawah umur
KUALA KRAI - Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini.
Remaja tersebut merupakan antara individu terbaharu yang ditahan selepas pihak polis mereman sembilan suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun pada Jumaat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan suspek terbaharu itu akan membantu siasatan berhubung kes tersebut.
"Pihak kami akan menjalankan kolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengatasi masalah ini.
"Hasil pemerhatian dan siasatan yang dijalankan mendapati kes ini berpunca daripada masalah keruntuhan keluarga yang melibatkan penceraian antara ibu dan bapa," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan remaja bawah umur berkait dengan jenayah rogol.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seramai sembilan lelaki termasuk remaja direman bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).
Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun itu direman antara lima hingga tujuh hari bermula Jumaat.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, menurut keterangan mangsa sekitar jam 9 malam pada 25 Oktober lalu, dia telah keluar dari rumahnya di Wakaf Bharu (Tumpat) dan tinggal bersama teman lelakinya di Jalan PCB.
Menurut beliau, semasa tinggal bersama teman lelakinya mangsa telah melakukan hubungan seks bersama rakan suspek lain di kawasan tepi pantai, Jalan PCB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!