Mandat baharu kepada pembangkang
SEREMBAN - Kemenangan BN di PRK DUN Rantau adalah modul terbaik bagi menggambarkan kerjasama pelbagai kaum di negara ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kemenangan itu bukan hanya disumbangkan oleh satu kaum sahaja, tapi semua kaum, di sini.
"Kita menang bukan kerana undi Melayu semata-mata tetapi juga sokongan pengundi Cina dan India.
"Perbezaan itu begitu ketara berbanding pada PRU14. Nampaknya modul kerjasama kita menjadi ditambah pula faktor calon kita Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya kepada Sinar Harian di pusat penjumlahan rasmi PRK DUN Rantau di sini, malam tadi.
Menurutnya, kemenangan itu juga adalah satu mandat baharu rakyat kepada gabungan pembangkang bagi membela mereka.
Beliau berkata, strategi PH memainkan sentimen BN tidak mampu buat apa-apa untuk mempengaruhi rakyat, tidak berhasil.
Selain itu katanya, Rantau akan menjadi permulaan untuk MCA memantapkan lagi gerak kerja parti itu sekali gus sebagai persediaan menghadapi PRU15.
“Ini memberi semangat kepada BN dan kita akan terus menjadi jurucakap rakyat bagi proses semak dan imbang kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!