Bincang teknologi tandatangan digital dalam industri kesihatan
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian (OHS RegLab) menganjurkan satu sesi meja bulat bagi membincangkan pembangunan dan pelaksanaan teknologi tandatangan digital dalam bidang penjagaan kesihatan digital di negara ini.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, penerimagunaan teknologi dalam pelbagai industri dan perkhidmatan kerajaan merupakan salah satu inisiatif yang menyokong pelaksanaan MyDIGITAL.
Tambah kenyatan itu, pihaknya sebagai pengawalselia di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 (ATD 1997) menyambut baik usaha yang diambil oleh OHS RegLab dalam mempertingkatkan tahap kebolehpercayaan pelbagai perkhidmatan di dalam bidang penjagaan digital dengan menggunakan tandatangan digital.
"Sesi ini bertujuan mempertingkatkan pemahaman mengenai penggunaan tandatangan digital, terutamanya di dalam bidang penjagaan kesihatan digital.
"Selain itu, ia juga membincangkan tentang kepentingan mewujudkan garis panduan terhadap penggunaan tandatangan digital dalam kalangan pengguna industri penjagaan kesihatan digital serta penilaian keperluan kawal selia lain di bawah KKM," jelasnya pada Sabtu.
Sesi Meja Bulat Industri yang berlangsung pada 1 Disember 2022 di MCMC Centre of Excellece (CoE) selama sehari menyaksikan penglibatan panel dari pelbagai pihak berkepentingan termasuk Malaysian Pharmacist Society (MPS), Pos Digicert Sdn Bhd, MSC Trustgate Sdn Bhd, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM), Malaysian Medical Association (MMA), International Medical University (IMU) dan Thomson Hospital dan DOC2US.
Ahli panel berkumpul bagi membincangkan tentang cabaran dan peluang tandatangan digital serta bagaimana pengunaan tandatangan digital akan memperkasakan pendigitalan dalam industri penjagaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!