Hannah Yeoh 'naik pangkat', terajui KBS
Pelantikan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu sebagai Menteri Belia dan Sukan diumumkan Anwar malam tadi di Perdana Putra, Putrajaya.
Berpengalaman luas dalam pentadbiran, Hannah, 43, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018 sekali gus mencatat sejarah sebagai speaker DUN wanita pertama dan termuda dalam negara.
Ibu kepada dua cahaya mata itu yang mula membabitkan diri dalam politik dengan menyertai DAP pada 2006, merupakan bekas peguam dan pernah menjadi Ahli DUN Subang Jaya selama dua penggal sejak 2008 sebelum beralih ke peringkat Parlimen pada 2018 apabila dengan bertanding di kerusi Segambut.
Hannah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Subang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Subang Jaya sebelum melanjutkan pelajaran mengikuti program Sarjana Muda Undang-undang University of Tasmania, Australia pada 2001.
Ketika menyandang jawatan timbalan menteri, Hannah lantang bersuara berkenaan isu perkahwinan pasangan bawah umur selain memperjuangkan penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual.
Beliau juga sering menyuarakan pandangan dan saranan berkenaan isu hak anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan selain mencadangkan mengenai perlunya penubuhan agensi atau kementerian khas untuk kanak-kanak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lepas, Yeoh mempertahankan kerusi Segambut bagi penggal kedua berturut-turut sejak 2018 selepas menewaskan dua pencabarnya V Prabagaran daripada Perikatan Nasional dan Daniel Ling Sia Chin (Barisan Nasional) dengan majoriti 59,684 undi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!