Kabinet baharu ada penyelarasan efektif tangani isu kompleks
SHAH ALAM - Pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan yang melibatkan 28 menteri dilihat mempunyai penyelarasan yang lebih berkesan dalam memastikan isu-isu kompleks pada masa kini dapat ditangani.
Penganalisis politik, Dr Rozhan Othman berkata, fungsi kabinet dari segi pembahagian bidang kuasa akan menjadi lebih jelas dan secara langsung mewujudkan koordinasi antara kementerian.
“Satu perkara yang saya perhatikan berlaku adalah apa yang kita istilahkan sebagai penyerpihan (fragmentation) iaitu bila banyak kementerian, maka akan berlakulah (kekeliruan) di antara kementerian.
“Contohnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berkait dengan sumber air dan alam sekitar tetapi isu yang berkait dengan tenaga adalah di bawah Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), sedangkan penjanaan tenaga itu merupakan penyumbang utama kepada pelepasan karbon di mana-mana negara di dunia.
“Jadi bila berlaku penyerpihan yang sedemikian, ia sukar untuk mengambil tindakan atau inisiatif-inisiatif tertentu kerana kabur dalam bidang kuasa (mana yang bertanggungjawab),” katanya
Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk 'Kabinet PM10: Ini masa reboot dan reform!' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu dikendalikan moderator, Hazwan Mokhtar.
Dalam pada itu, ulas Rozhan, kerajaan perlu melihat bagaimana langkah-langkah untuk mewujudkan sinergi antara kementerian-kementerian yang berkaitan.
“Apabila (sinergi) ini wujud, saya merasakan bahawa kabinet ini akan lebih berkesan, lebih mampu untuk menghasilkan natijah-natijah dan mencapai matlamat dalam memulihkan ekonomi.
“Ia tidak semestinya dalam (aspek) kos sara hidup tetapi sekurang-kurangnya membuka peluang-peluang untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!