Sokongan DAP kepada Anwar tidak bersyarat: Anthony
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan sokongan parti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak bersyarat termasuk jumlah keanggotaan dalam kabinet atau jawatan-jawatan tinggi lain.
Anthony berkata, perkara paling penting bagi parti itu adalah Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri kerana beliau adalah individu yang mampu memimpin dan diyakini menghasilkan kejayaan untuk negara.
Ahli Parlimen Seremban itu menambah mesej itu harus jelas memandangkan ada dalam kalangan penyokong dan akar umbi yang merasakan jumlah perwakilan DAP amat kurang berbanding parti yang lain.
“Jadi saya nak maklumkan pada 22 November sebelum Anwar pergi ke Istana Negara, saya nyatakan kepada Anwar, selagi anda boleh jadi Perdana Menteri, DAP sanggup berkorban apa saja. Itu adalah komitmen saya pada Perdana Menteri.
“Saya menaruh kepercayaan kepada Anwar dan beliau tidak setuju untuk kita tak masuk Kabinet. Dia bertegas DAP mesti menjadi sebahagian daripada Kerajaan dan soal komposisi (kabinet), bagi saya itu adalah budi bicara PM.
“Kita meletakkan kepentingan negara, mengatasi kepentingan parti. Hari ini mungkin ada perasaan daripada ahli DAP yang rasa kita tidak ada wakil mencukupi tetapi kita berjuang dan pemimpin DAP dalam politik bukan demi jawatan tapi demi negara. Apa saja jawatan kita diberikan, kita akan buat terbaik,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal berita Astro Awani pada Sabtu.
Pada Jumaat, empat pemimpin DAP dinamakan sebagai Menteri termasuk Anthony antaranya Nga Kor Ming (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), Hannah Yeoh (Kementerian Belia dan Sukan), dan Sivakumar Varatharaju (Kementerian Sumber Manusia).
Bagaimanapun segelintir akar umbi dan pemimpin DAP merasakan jumlah itu tidak mencukupi memandangkan jumlah kerusi Parlimen yang parti itu menangi antara yang terbesar berbanding parti lain, iaitu 40 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!