Berang 'bunyi bising', warga emas tutup suis utama ventilator

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BERLIN - Gara-gara berasa terganggu dengan 'bunyi bising' mesin oksigen, seorang pesakit warga emas di Jerman bertindak menutup suis utama ventilator dan tindakan itu hampir meragut nyawa mangsa katil bersebelahannya.

Pihak berkuasa di Mannheim, barat daya Berlin memberitahu, suspek berusia 72 tahun itu telah ditahan atas cubaan membunuh selepas kejadian yang berlaku pada minggu lalu.

"Dia melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali. Suspek kini ditempatkan di pusat tahanan untuk siasatan lanjut," ujar jurucakapnya.

Siasatan awal mendapati wanita itu dengan selamba mematikan suis utama ventilator pesakit berumur 79 tahun di katil sebelah.

"Dia telah ditegur staf hospital pada kali pertama melakukan perbuatan itu dan masih berdegil walaupun sudah dimaklumkan pesakit berkenaan bergantung penuh dengan mesin sokongan oksigen tersebut," jelasnya laporan awal itu.

Akibat perbuatannya, pesakit berkenaan terpaksa menjalani prosedur resusitasi.

"Dia kini kembali stabil, namun masih memerlukan rawatan intensif," kata kakitangan hospital berkenaan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!