'Saya hilang tempat bergantung'

Nor Idayu (empat dari kanan) menerima sumbangan daripada AB Aziz ketika kunjungan di rumahnya di Taman Beluti Pasir Puteh pada Khamis
Nor Idayu (empat dari kanan) menerima sumbangan daripada AB Aziz ketika kunjungan di rumahnya di Taman Beluti Pasir Puteh pada Khamis
A
A
A

KOTA BHARU - Kematian suami pada Oktober lalu menyebabkan Nor Idayu Ghazali, 42, terpaksa berusaha merancang kehidupan bersama empat anak yang kesemuanya masih belajar.

Suaminya, Rosdan Abdul Hamid yang juga pesara tentera meninggal dunia hujung Oktober lalu pada usia 49 tahun akibat kanser hati.

Menurut suri rumah itu, keadaan bertambah sukar apabila dia tidak dapat bergerak aktif kerana selalu diserang sakit dan ketidakselesaan akibat ketumbuhan dalam perut.

"Saya sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 29 Oktober lalu tetapi pada hari sama, suami meninggal dunia dan terpaksa ditangguhkan pada Isnin 28 November," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun jelasnya pada hari itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman cuti umum selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan doktor memberikan tarikh baharu pada 19 Disember ini.

Sementara itu kata Nor Idayu, mereka sekeluarga terpaksa berjimat dengan kewangan yang ada sementara menanti wang pencen arwah suaminya.

"Saya hilang tempat bergantung. Sebelum ini suami menguruskan perbelanjaan sekolah anak-anak tetapi kini saya perlu menggantikan suami," katanya,

Nor Idayu yang hilang kekuatan bersyukur kerana ibunya, Zainab Hussin, 72, yang banyak membantunya menguruskan rumah walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

"Mujur juga adik beradik saya dan suami selalu menjenguk kami dan memberi sokongan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Empat anak Nor Idayu berusia antara 10 hingga 22 tahun masih belajar termasuk seorang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Matrikukasi Kelantan.

Nor Idayu pada Khamis menerima kunjungan ahli Srikandi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Selising diketuai Yang Dipertua PVATM, AB Aziz Awang Lah yang turut menyampaikan sumbangan.

Suri rumah itu memberitahu turut dimaklumkan akan menerima pencen suaminya dalam tempoh tiga bulan lagi tetapi tidak pasti jumlahnya.

Mereka yang mahu meringankan beban Nor Idayu boleh menghubungi di talian 0139267954 atau menyumbang melalui Bank Islam di nombor 03090020957237 atas nama Nor Idayu Ghazali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!