Norde tak sabar mula cabaran bersama TFC
PENYERANG import, Sony Norde mahu segera melupakan kenangan pahit musim 2022, sebaliknya menjadikan tahun 2023 sebagai pentas kebangkitan bersama Terengganu FC (TFC).
Norde diikat selama setahun bersama naib juara Piala FA itu bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Penyu tersebut.
Pemain dari Haiti itu mengakui perjalanan musim 2022 bersama Melaka United FC sungguh mencabar.
Kini sudah tiba masa untuknya kembali bangkit membantu TFC meraih pencapaian lebih cemerlang berbanding musim ini.
Jelasnya, dia percaya pilihannya untuk bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner adalah tepat.
“Ya, semua tahu apa yang berlaku di Melaka dan sebagai pemain bola, sudah pasti saya sentiasa ada rasa untuk bermain, jadi inilah masanya untuk terus berjalan ke hadapan.
“Saya bersedia untuk bersama keluarga baharu di Terengganu dan juga cabaran baharu bersama pasukan ini.
“Secara jujurnya, saya ada mendapat tawaran lebih daripada tujuh kelab dan saya ada berbincang dengan tujuh pasukan tersebut, jadi kami melihat dari semua sudut sebelum akhirnya memilih TFC.
“Selain ingin beraksi di Piala AFC, TFC juga mempunyai ramai pemain tempatan yang bagus jadi saya rasa pasukan ini pilihan terbaik untuk saya,” jelasnya.
Norde juga tidak menolak harapan tinggi diletakkan musim depan untuk terus kekal cemerlang seperti dilakukan oleh Nafuzi Zain pada musim ini.
Namun, pemain berusia 33 tahun itu percaya kehadiran jurulatih baharu tetap akan menghasilkan pencapaian luar biasa seiring kerja keras seluruh pasukan selepas ini.
“Kita tahu semua penyokong TFC juga sudah letak harapan tinggi daripada jurulatih serta pemain. Ini cabaran untuk pemain baharu bawa pasukan ini ke tahap tinggi.
“Memandangkan mereka telah melakukan tugas cemerlang di bawah kendalian Nafuzi sebelum ini, kini adalah giliran kami untuk melakukan sesuatu sebab sudah tentu penyokong akan sedih sekiranya kami tidak berjaya.
“Saya baru kali pertama bertemu dengan jurulatih (Steinbruckner) ketika menandatangani kontrak dan apa saya boleh cakap, beliau mempunyai karakter yang cukup disenangi dan saya percaya kami semua akan mampu memberikan yang terbaik,” katanya.
Norde sebelum ini bersama Melaka United selama tiga musim sejak 2020, berjaya meraih empat gol dan lima bantuan dalam 17 penampilan secara keseluruhan musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!