Pertarungan dengan Belanda sukar tetapi menarik
ARGENTINA menjangkakan pertarungan sukar tetapi menarik dengan Belanda apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu depan.
Argentina yang dibimbing Lionel Scaloni menundukkan Australia 2-1, manakala Belanda mengalahkan Amerika Syarikat 3-1 pada Ahad untuk menyaksikan perlawanan menarik antara dua gergasi hebat dunia.
Mereka berentap di pentas final Piala Dunia 1978 yang berpihak Argentina dengan kemenangan 3-1.
"Ia pasti satu perlawanan yang amat cantik dengan dua pasukan penuh bersejarah. Malangnya satu pasukan terpaksa kalah dan kami berharap kami yang berjaya meloloskan diri," ujar Scaloni.
Sedar jurang perbezaan usia yang ketara, Scaloni, 44, berkata sejak zamannya bermain, beliau sudah mengagumi jurulatih Belanda, Louis van Gaal, 71.
"Beliau seorang yang agung ketika itu. Satu detik membanggakan untuk berdepannya. Kita tahu betapa banyak sumbangannya dalam bola sepak dan bagaimana ramai yang cuba mengikut jejak langkahnya," katanya.
Scaloni berkata, ia adalah satu daripada keseronokan dalam dunia bola sepak, terutama apabila ia berlaku pada Piala Dunia.
"Kami berdepan lawan yang sukar, seperti mereka juga dan kami berharap mampu bertindak baik. Mungkin mereka tidak menyinar seperti pasukan Belanda sebelum ini, tetapi mereka tahu apa yang mereka lakukan," ujar Scaloni.
Dalam pada itu, kapten Argentina Lionel Messi, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan menentang Australia turut senada dengan Scaloni
"Kami akan berdepan satu pertembungan getir dengan Belanda yang beraksi dengan amat bagus.
"Mereka mempunyai pemain hebat dan seorang jurulatih hebat, ia pasti sengit," katanya.
Messi ledak gol ketika penampilan ke-1,000
PEMAIN bintang, Lionel Messi memahat sejarah apabila membuat penampilan ke-1,000 dalam kerjayanya ketika aksi Argentina dan Australia di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad.
Pemain berusia 35 tahun itu mengapai impian untuk menjulang satu-satunya trofi berprestij yang belum pernah dimenanginya.
Messi meledak satu gol ketika membantu Argentina mara ke suku akhir selepas menewaskan Australia 2-1 di Stadium Ahmad bin Ali.
Belanda menjadi lawan di pusingan lapan terbaik dalam misi Messi membantu Argentina menjulang trofi buat kali ketiga.
Messi adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina setelah meledak 94 gol dan membuat penampilan ke-169 buat skuad Amerika Latin itu.
Memulakan karier apabila menyertai skuad remaja Barcelona pada usia 13 tahun dan menjadi penjaring terbanyak pasukan itu dengan 672 gol dalam 778 perlawanan.
Messi kemudian berpindah ke Paris St Germain tahun lalu.
Secara keseluruhan, dia sudah menjaringkan 788 gol.
Messi membuat penampilan di pentas Piala Dunia buat kali kelima dan ia merupakan yang terakhir buatnya.
Penting buat Messi untuk mendakap trofi berprestij itu andai mahu menyamai tinta hebat pemain legenda yang memakai jersi nombor 10, Diego Maradona.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!