Kabinet 'reformasi' sekadar retorik
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan beranggapan kabinet 'reformasi' yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilihat sekadar retorik sahaja.
Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, hal ini kerana kabinet baharu hanyalah dalam bentuk menstrukturkan semula sebahagian besar portfolio menteri 22 bulan lalu kecuali kementerian pengangkutan.
"Hal ini kerana ia menampilkan muka lama dan kabinet ini sekadar gabungan.
"Tahniah kepada semua jemaah menteri khususnya Timbalan Perdana Menteri. Nampak Perdana Menteri dan Timbalannya serasi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mengenai pelantikan menteri anak muda daripada DAP, Pemuda Pas Kelantan mengambil keputusan untuk 'menyimpan' komen dan pandangan.
Ujarnya, banyak yang Pemuda Pas khuatirkan terutama melibatkan dasar-dasar dan program-program anak muda, juga melibatkan sukan.
"Cuma saya ingatkan kebetulannya ramai ahli Parlimen anak muda daripada Perikatan Nasional (PN) telah bersedia menjadi semak imbang mewakili anak muda.
"Nantikan persembahan mereka untuk penyediaan anak muda yang baik untuk negara. Anak muda percaya negara perlukan parti yang bersih dan stabil, juga pemimpin yang berakhlak dan paling penting membawa negara ke arah pencapaian yang lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!