Wan Junaidi nafi isi jawatan Speaker Dewan Rakyat
SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan dirinya akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Tegasnya, sehingga kini tiada sebarang notis atau permakluman diterimanya untuk mengisi jawatan berkenaan seperti mana yang dilaporkan.
"Macam mana (laporan) boleh sebut (nama saya) macam itu sahaja. Macam mana notis 14 hari (hendak diberikan) kalau saya tidak ditanya.
"Maksudnya, bukanlah saya (ditawarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat), mudah sahaja," katanya ketika kepada Sinar harian pada Ahad.
Beberapa portal berita pada Ahad mengaitkan nama bekas Ahli Parlimen Santubong itu sebagai individu yang bakal dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi persidangan Parlimen di bawah Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Wan Junaidi, nama lain yang turut disebut ialah Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusoff yang sebelum ini penah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Difahamkan, 5 Disember (Isnin) merupakan hari terakhir bagi permakluman atau pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.
Oleh itu, calon Yang Dipertua Dewan Rakyat sepatutnya sudah dihubungi bagi mendapatkan persetujuan dalam lantikan ke jawatan terbabit.
Pada Jumaat, Azhar mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 19 Disember ini.
Menurutnya, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.
Pada PRU15 lalu, Wan Junaidi tidak mempertahankan kerusi Santubong yang diwakilinya sejak 2004.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!