Azizulhasni di tangga kelapan UCI TCL
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menamatkan kempen Liga Juara-Juara Trek UCI (TCL) di tangga kelapan bagi kategori sprint lelaki keseluruhan di London pada Ahad.
Menurut laman web rasmi kejohanan ucitrackchampionsleague.com, atlet digelar 'The Pocket Rocketman' itu meraih 60 mata selepas lima pusingan, manakala pelumba Australia, Matthew Richardson dinobatkan juara dengan 183 mata.
Richardson mengatasi pesaing utamanya Harrie Lavreysen daripada Belanda dengan jurang dua mata selepas Lavreysen mengumpul 181 mata, manakala Stefan Botticher daripada Jerman memenangi tempat ketiga dengan 136 mata.
Dalam pusingan akhir yang berlangsung di hadapan lebih 5,500 peminat di venue ikonik Sukan Olimpik 2012, Lee Valley VeloPark, London, Azizulhasni gagal dalam misi untuk sekurang-kurangnya meraih podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam acara kegemarannya, keirin pada Sabtu.
Richardson mengungguli perlumbaan diikuti Lavreysen dan Botticher.
Sementara itu, atlet kelahiran Dungun itu terlepas peluang beraksi pada separuh akhir sprint selepas sekadar di tempat kedua dalam pusingan pertama di belakang peserta Colombia Santiago Ramirez Morales.
Hanya pemenang daripada enam heat berbeza mara ke separuh akhir acara itu.
Kejohanan tersebut bermula di Mallorca, Sepanyol bulan lepas dan pelumba perlu meraih mata untuk lima pusingan dalam acara sprint atau endurance. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!