'Sahruddin seorang yang kompeten'
JOHOR BAHRU - Dr Sahruddin Jamal mampu menerajui Johor ke satu tahap lebih tinggi dan baik kerana beliau seorang yang kompeten, kata ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurutnya, beliau melihat perkara tersebut selepas bekerjasama dengan Sahruddin selama 11 bulan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
"Kita 100 peratus sokong Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor. Saya juga rakan kerja dia selama 11 bulan, saya rasa dia seorang yang kompeten dan saya cukup yakin dia dapat menerajui kita ke satu peringkat yang lebih baik," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Jimmy turut mengenang jasa dan sumbangan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor pertama daripada PH.
"Kita masih perlukan bimbingan dan pengalaman beliau," katanya.
Ditanya mengenai rombakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Sahruddin, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada menteri besar yang baharu dan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!