[VIDEO] Rafizi akhirnya ‘bersuara’ mengenai Kerajaan Perpaduan

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli akhirnya ‘bersuara’ mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) setelah lebih seminggu Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Menteri Ekonomi itu menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sebagai unik ekoran telah mendesak semua pihak yang bersengketa dalam politik sebelum ini duduk semeja dan mengutamakan rakyat.

“Keputusan PRU15 unik apabila tiada gabungan yang dapat membentuk kerajaan secara majoriti (dan) menyebabkan Perikatan Nasional (PN) atau PH tidak boleh membentuk kerajaan tanpa penyertaan BN.

“Kebuntuan itu hanya ada jalan keluar apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan gabungan-gabungan politik membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa sama PN awal-awal menolak sebarang kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan, sebab itu dalam satu borang, mereka (PN) terus menulis ‘tidak bersetuju’ di atas draf persetujuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di laman sosial TikTok pada Ahad.

Dalam pada itu Rafizi mendakwa, PN bertindak tidak jujur apabila mengaku mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, sedangkan perkara itu merupakan ‘ulang tayang’ ketika Langkah Sheraton.

Beliau berkata, kegagalan PN untuk mencuri ahli Parlimen menyebabkan gabungan itu tidak berpuas hati, seterusnya menggelarkan Kerajaan Perpaduan dengan pelbagai panggilan dan akan berterusan untuk beberapa minggu akan datang.

“Mereka (rakyat) yang marah dengan pembentukan kerajaan kerana mahu kerajaan yang didominasi oleh wakil rakyat, menteri-menteri Melayu secara besar, sepatutnya bawa bersabar dan tanya balik (kepada) Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang).

Artikel Berkaitan:

“Bukankah tindakan menolak titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan kempen PN yang mahu menjaga orang Melayu dan institusi orang Melayu.

“Kenapa mahu membentuk kerajaan dengan mencuri ahli Parlimen parti lain sedangkan rakyat telah memberi isyarat jelas menolak pengkhianatan politik seperti yang berlaku dalam Langkah Sheraton. Apa guna mengundi dan meluluskan Akta Anti Lompat Parti kalau undang-undang itu dibuang kerana nafsu mahu menjadi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Rafizi menjelaskan, kedudukannya sebagai perunding yang menyelaras Kerajaan Perpaduan sebelum ini menghalangnya dari mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran terikat dengan kerahsiaan rundingan.

“Jika kita perunding, kerahsiaan rundingan adalah sangat penting agar tidak merumitkan keadaan.

“Buat masa sekarang nasihat saya kepada semua supaya kita mengutamakan rakyat. Mementingkan rakyat bermakna memberi kestabilan politik agar kerajaan ini kekal sehingga lima tahun dan ada peluang untuk melaksanakan dasar yang berkesan, membantu rakyat tanpa ada banyak gangguan.

“Matlamat kerajaan yang diundi oleh rakyat adalah untuk memperbaiki ekonomi supaya kehidupan harian rakyat menjadi lebh baik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!