Cabaran besar England

Southgate (tengah) dan England berdepan misi besar menentang Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad. - Foto AFP
Southgate (tengah) dan England berdepan misi besar menentang Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

ENGLAND bakal berdepan ujian getir dalam misi mendakap Piala Dunia 2022 apabila akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Perancis dalam aksi suku akhir pada Ahad.

"Ia adalah ujian terbesar yang akan kami hadapi. Mereka juara dunia dan memiliki para pemain terbaik.

"Mereka sukar dicabar, apatah lagi untuk kami menjaringkan gol," ujar pengendali England, Gareth Southgate

Skuad Three Lions beraksi cemerlang untuk menewaskan Senegal 3-0 dalam aksi kalah mati di Stadium Al Bayt pada Isnin.

England akan menentang Perancis yang memburu rekod sebagai pasukan pertama menjuarai Piala Dunia secara berturut-turut sejak dilakukan Brazil pada 1958 dan 1962.

Pasukan Uncle Sam itu dilihat bersedia untuk merobek gawang Perancis menerusi trio Jordan Henderson, Harry Kane dan Bukayo Saka yang meledak tiga gol ketika membenam Senegal.

Southgate bagaimanapun sedar skuad kendalian Didier Deschamps berada dalam kelas tersendiri.

"Ia satu cabaran menarik dan seteru yang mempunyai sejarah dengan permainan hebat daripada dulu lagi.

"Ia juga satu perlawanan yang menakjubkan untuk kami hadapi dan ujian buat diri sendiri bertemu pasukan yang sangat hebat," ujar Southgate.

Diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe, Perancis menewaskan Poland 3-1 pada pusingan 16 terbaik.

Mbappe menyumbat dua gol ketika menewaskan Poland dan sudah meledak lima gol dalam kejohanan kali ini.

"Mbappe seorang pemain berkelas dunia. Dia sudah mencapai sesuatu di sini dan juga di kejohanan sebelumnya," kata Southgate.

Dia juga mengagumi barisan tengah Perancis yang dianggap sebagai fantastik.

"Griezmann (Antoine) juga seorang pemain fenomena, kami tahu Giroud (Olivier) melakukan yang baik dan mereka mempunyai barisan tengah yang menakjubkan.

"Ia satu ujian besar, tetapi (lawan) mereka adalah sesuatu yang kami nantikan," ujar Southgate


Masa ini keutamaan untuk Sterling bersama keluarga

STATUS Raheem Sterling bersama England menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 berdepan penyandang juara Perancis di Stadium Al Bayt pada awal pagi 11 Disember, hanya diketahui dalam masa terdekat.

Pengendali England, Gareth Southgate berkata, pada masa ini keutamaan pemain The Three Lions itu adalah untuk bersama dengan ahli keluarganya.

“Kita perlu tunggu dan lihat kerana jelas pada masa ini keutamaannya adalah untuk dia bersama keluarganya, dan kami akan menyokong dan membiarkan dia untuk tujuan tersebut. Ya, dia perlu pulang ke England.

“Saya benar-benar tidak tahu (kemungkinan dia kembali) kerana pada masa ini ia adalah situasi yang dia memerlukan masa bersama keluarga dan saya tidak mahu meletakkan dia di bawah sebarang tekanan dengan itu. Kadangkala bola sepak bukanlah perkara yang paling penting, sebaliknya keluarga harus didahulukan.

“Saya menghabiskan banyak masa bersama Raheem pagi ini. Anda mempunyai hari apabila berlaku peristiwa dan anda perlu menanganinya serta tidak sesuai untuk berada bersama pasukan sebelum perlawanan besar," katanya.

Bekas bintang Liverpool dan Manchester City, sebelum ini meninggalkan kem Piala Dunia England selepas perompak bersenjata memecah masuk ke rumahnya di London pada Ahad.

Situasi itu menyaksikan Sterling tidak bersama The Three Lions ketika menewaskan Senegal, 3-0 pada pusingan 16 terbaik Qatar 2022 di Stadium Al Bayt pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!