Ukir potret pada daun jadi sumber rezeki
KUALA LUMPUR - Kata orang ulat di dalam batu pun boleh hidup, dan Muhammad Hafizi Abdul Karim membuktikan kebenaran maksud peribahasa Melayu itu.
Pada ketika hidupnya sekeluarga berdepan cabaran selepas perniagaan air buahnya terjejas dek penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, bapa kepada dua anak perempuan itu tidak berputus asa, sebaliknya cuba memanfaatkan bakat seni sebagai pelukis untuk mencari pendapatan.
"Saya gemar melukis sejak di bangku sekolah lagi, namun selepas tamat persekolahan saya sedar bukan mudah untuk menjadikannya sebagai kerjaya. Sejak itu saya hanya melukis secara suka-suka pada masa lapang.
"Namun selepas perniagaan saya terjejas semasa PKP, saya kembali melukis dan cuba-cuba menjualnya dalam talian bagi menampung pendapatan. Alhamdulillah, ada sambutan,” kongsi lelaki berusia 31 tahun itu dengan Bernama.
Cari kelainan
Pada masa sama katanya, beliau berasa tidak puas sekadar melukis di atas kertas dan mahu mencari kelainan di samping mencipta identiti yang tersendiri.
"Sehinggalah suatu hari pada tahun lepas, isteri saya ada melihat pelukis di luar negara menggunakan daun sebagai medium seni dan dia bertanya sama ada saya boleh mengukir wajahnya di atas daun.
"Saya jawab boleh, tetapi dia tidak percaya, jadi saya pun cuba dan berjaya walaupun hasilnya tidaklah begitu memuaskan,” katanya yang menggunakan daun nangka ketika kali pertama mengukir potret isterinya.
Beliau kemudian mempertajam kemahiran dengan mengukir potret dan objek lain termasuk bangunan pada daun. Segalanya dilakukan sendiri tanpa bimbingan daripada mana-mana pihak.
Sentuhannya pada sehelai daun nangka dengan ungkapan "Free Gaza” yang dimuat naik ke laman Facebook LUKIS, sebuah kumpulan yang menampilkan pelukis-pelukis dalam negara antaranya pelukis terkenal tanah air Latif Maulan, meraih sambutan ramai serta tular di media sosial.
"Semasa terjadi isu ketegangan di antara Palestin dan Israel, ramai bersolidariti dengan cara masing-masing melalui pelbagai lukisan yang begitu menyentuh hati. Saya cuba menghasilkan satu ukiran daripada daun nangka yang tertulis "Free Gaza" dengan kapsyen ‘ukiran daun ini akan kering tapi doa rakyat Malaysia tidak akan kering buat rakyat Palestin’.
"Sejak itu, saya tidak putus-putus menerima tempahan dan amat berterima kasih kepada semua yang mempercayai karya saya,” ujarnya yang kini menetap di Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, sejak itu juga beliau menjadikan ukiran daun sebagai mata pencarian utamanya.
"Saya amat bersyukur, dalam keadaan saya tersepit, ALLAH SWT tunjukkan kepada saya walaupun dengan helaian daun, jika Dia mengkehendaki (helaian daun) dapat dijadikan sumber rezeki, ia tetap akan jadi rezeki,” ungkapnya lagi.
Lakar dan ukir
Menurutnya, bagi menghasilkan ukiran di atas daun, beliau membuat lakaran terlebih dahulu sebelum mengukir menggunakan pisau.
"Ia perlu dilakukan dengan hati-hati. Selepas mengukir, sama ada potret atau apa juga yang dipinta pelanggan, ia akan diawetkan dan dimasukkan ke dalam bingkai gambar,” katanya yang hanya memerlukan pen dan pisau bagi menghasilkan karyanya.
Muhammad Hafizi berkata bagi potret, beliau hanya memerlukan masa antara satu dan dua jam untuk disiapkan namun bagi ukiran objek lain, ia boleh mengambil masa berhari-hari.
"Dulu masa mula-mula terlibat dalam ukiran daun saya gunakan daun nangka, sekarang saya banyak gunakan daun teja dan dokong. Bagi ukiran wajah saya akan gunakan daun teja.
"Daun dokong adalah jenis daun yang paling mencabar untuk diukir kerana ia sangat rapuh, tetapi saya sangat menyukainya dan anggap ia satu cabaran," katanya yang hanya perlu memetik daun-daun tersebut di sekitar kawasan rumahnya.
Menurutnya, saiz daun yang sesuai ialah selebar tiga jari orang dewasa, namun ia juga bergantung pada imej yang akan diukir.
"Kebiasaannya saya hadkan sehelai daun untuk dua wajah," katanya, menambah selain ukiran potret, beliau turut menghasilkan lukisan dan ukiran gambar binaan, kaligrafi, haiwan serta pemandangan.
Beliau berkata ukiran dibuat berdasarkan permintaan ramai yang lazimnya ada kaitan dengan isu semasa.
"Seperti baru-baru ini saya hasilkan ukiran Istana Negara atas permintaan rakan,” katanya merujuk kepada peranan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa kemelut politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.
Buat masa ini beliau hanya menjual karyanya secara dalam talian termasuk TikTok atas nama 'Hafizi Eiji'.
Harga bagi satu ukiran yang dibingkaikan bermula dari RM80 hingga ratusan ringgit dan bagi yang tiada bingkai harganya adalah RM65.
Dekat dengan alam sekitar
Menyifatkan lukisan dan ukiran pada daun sebagai sesuatu yang unik berdasarkan bentuk, urat serta warna daun, Muhammad Hafizi berkata aktiviti itu juga mendekatkan beliau dengan alam sekitar.
"Saya sukakan alam sekitar. Mengukir menggunakan daun ini memberikan satu ketenangan dan lebih mendekatkan diri dengan alam sekitar.
"Saya juga berminat mengukir sesuatu konsep yang dekat dengan alam sekitar sebagai koleksi,” ujarnya.
Mengenai teknik mengawet daun, anak seni itu berkata beliau belajar sendiri daripada YouTube, dan setiap karyanya mampu bertahan selama beberapa tahun.
Katanya, mengukir di atas daun juga mengajarnya bersabar kerana ia memerlukan ketelitian yang tinggi.
"Jika di atas kertas kita boleh padam sekiranya melakukan kesilapan tetapi di atas daun kita tidak boleh buat apa-apa jika silap, maka perlu lebih berhati-hati selain perlu bersabar dengan daun yang rapuh serta mudah terkoyak," katanya yang mendapat sokongan padu keluarga serta rakan-rakan.
"Harapan saya sudah tentu mahu menghasilkan lebih banyak ukiran yang menarik untuk dijadikan koleksi dan mahu membuka galeri seni untuk mempamerkan koleksi saya selain berharap ukiran daun ini lebih dikenali," katanya.
Walaupun baru setahun berjinak-jinak dalam seni ukiran daun, Muhammad Hafizi berbangga kerana karyanya turut mendapat pengiktirafan negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad yang tertarik dengan ukiran potret beliau.
"Pada tahun lepas, saya ada hasilkan gambar beliau dan muat naik ke TikTok. Ia tersebar dan mendapat perhatian Tun. Tun memuat naik video dan memberitahu menyukai ukiran saya. Beliau kemudian mengundang saya ke rumah beliau di Alor Setar,” kongsinya menamatkan perbualan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!