Wan Saiful minta kerajaan tolak desakan keluar CPTPP
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta kerajaan untuk menolak desakan keluar dari Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Beliau berkata, sekiranya penyertaan Malaysia dalam CPTPP dibatalkan, ia bukan sahaja merugikan warga Tasek Gelugor malah rakyat Malaysia keseluruhannya.
Menurutnya, tindakan pentadbiran sebelum ini meratifikasi CPTPP adalah tindakan yang tepat.
"CPTPP dijangka memberi akses ke pasaran baharu seperti Mexico, Peru dan Kanada.
"Dengan adanya CPTPP, nilai jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat ke RM3.05 trilion pada 2030 manakala eksport Malaysia akan mencecah RM1.65 trilion pada 2030.
"CPTPP akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat termasuk rakyat di Tasek Gelugor yang mana saya adalah Ahli Parlimen mereka," katanya di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menarik balik ratifikasi CPTPP.
Desakan itu dibuat oleh 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Wan Saiful berkata, ramai warga Tasek Gelugor bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.
"Kemasukan pelaburan dan perpindahan teknologi baru serta peluang mempertingkat kemahiran tenaga kerja melalui CPTPP sudah pasti akan membolehkan warga Tasek Gelugor mendapat pendapatan lebih tinggi di masa depan. Inilah manfaat daripada perdagangan dan sistem ekonomi pasaran," ujarnya.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, mendakwa belum sempat sebulan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mentadbir, kumpulan-kumpulan aliran kiri yang bersifat anti-perdagangan sudah mula lantang.
"Inilah kesan daripada terwujudnya sebuah kerajaan berfahaman kiri dalam negara kita.
"Rakyat perlu peka hal ini. Jika kerajaan PH-BN ini memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan tersebut, ini satu lagi bukti penularan fahaman sosiopolitik kiri dalam Malaysia," jelasnya.
Tambah beliau, negara ini dibina sejak zaman Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai sebuah negara perdagangan.
"Kita adalah negara perdagangan dan ekonomi pasaran. Ekonomi kita berkembang maju apabila kita berdagang di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!