Letusan Semeru cetuskan awan hitam menakutkan
LUMAJANG - Ribuan penduduk kampung berpindah dalam keadaan tergesa-gesa pada Ahad ketika siren dibunyikan selepas lahar dimuntahkan gunung berapi Semeru mula mengalir ke perkampungan mereka dengan awan hitam menyelebungi seluruh kawasan kabupaten Lumajang, wilayah Jawa Timur di Indonesia.
Seorang penduduk, Gunawan turut merakamkan detik cemas tersebut apabila langit bertukar menjadi gelap secara tiba-tiba seperti waktu tengah malam.
Sukarelawan tempatan juga cuba memberi amaran kepada penduduk sekitar dengan pukulan gendang buluh setelah sambungan internet terputus dan isyarat telefon tidak lagi berfungsi.
Situasi menjadi agak huru-hara selepas perkampungan sekitar dihujani debu vulkanik ketika usaha pemindahan sedang dilakukan.
"Keadaan terlalu gelap. Saya tidak boleh melihat apa-apa dengan keadaan hujan bercampur debu. Tetapi, kami perlu segera berpindah," kata seorang penduduk.
Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan Semeru masih dalam fasa letusan walaupun saiz awan debu semakin berkurangan.
"Secara keseluruhan, aktiviti vulkanik masih tinggi," ujarnya.
Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dalam satu kenyataan mengesahkan hampir 2,000 penduduk sudah dipindahkan ke 11 pusat penempatan sementara setelah kira-kira 11 perkampungan dilaporkan terjejas akibat letusan terbaharu Semeru yang berlaku untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.
Pegawai pentadbiran tempatan, Amperawati Masdar berkata, penduduk hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila awan panas telah 'hilang'.
"Majoriti penduduk di dua perkampungan paling berisiko sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya lagi.
Selain itu, penduduk juga dilarang menghampiri kawasan tenggara 13 kilometer di sepanjang sungai yang mengalirkan lahar tersebut.
Pihak berkuasa menaikkan status amaran pada tahap tertinggi selepas Semeru yang berketinggian 3,676 meter membebaskan debu tebal dan memuntahkan lahar yang berlaku genap setahun selepas letusan pada tahun lalu yang meragut puluhan nyawa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!