Bekalan telur ayam, minyak peket di Selangor stabil
GOMBAK - Bekalan telur ayam dan minyak masak peket di Selangor adalah stabil dan konsisten.
Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pihaknya telah mengatur gerak kerja terancang berdasarkan lokaliti untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara harian terhadap harga serta keberadaan bekalan barangan keperluan asas pengguna di setiap rantaian pengedaran di Selangor.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan menunjukkan prestasi keberadaan bekalan minyak masak peket satu kilogram (1 kg) adalah stabil dan tidak ada isu kekurangan bekalan bagi menampung keperluan pengguna isi rumah.
"Arahan kerajaan menetapkan pembelian terhad tiga peket untuk setiap pembelian adalah rasional demi memastikan setiap pembeli untuk kegunaan isi rumah dapat menikmati bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.
"Bekalan telur ayam juga disifatkan konsisten dibekalkan di pasaran dan tidak mengalami bekalan 'out of stock' dalam tempoh masa yang lama, jika ada sekali pun ia bersifat sementara serta berlaku secara lokaliti dan kebiasaannya bekalan pulih semula dalam tempoh masa yang munasabah.
"Tidak dinafikan terdapat situasi belian telur terhad kepada pilihan gred, jenis dan bilangan telur ayam (10 biji/ 30 biji). Walaupun berlaku limitasi pembelian, prestasi keberadaan bekalan telur ayam tidak kritikal dan masih berupaya menampung keperluan pembeli," katanya selepas membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya dekat sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkaya, pemeriksaan juga mendapati bekalan ayam standard juga semakin baik berdasarkan pemeriksaan yang lebih spesifik melibatkan peringkat pengeluar dan pembekal telur ayam di premis pengumpulan sekitar Kuala Garing, Rawang, Selangor.
"KPDNKSH Selangor meminta kerjasama pengguna membeli mengikut keperluan dan tidak sesekali membuat pembelian panik dengan menyimpan stok yang berlebihan daripada keperluan biasa," ujarnya.
Tambahnya, KPDNKSH Selangor menerusi tindakan penguatkuasaan di bawah Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari sehingga 3 Disember 2022 telah memeriksa 6,635 premis membabitkan 190 pemborong dan 6,445 peruncit.
"Seramai 183 peniaga telah dikenakan tindakan kes atas pelbagai kesalahan antaranya menjual melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga khas warna merah jambu serta gagal mempamerkan tanda harga.
"Kes yang dihasilkan telah mengutip kompaun berjumlah RM42,400," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!