Sikap penduduk punca flat jadi tempat pembiakan nyamuk

Keadaan Flat Taman Teluk Indah di Perai yang berbau busuk dan meloyakan dengan sampah sarap yang dibuang daripada tingkat atas. (Kanan: Mohd Wazir menunjukkan sampel air yang mengandungi jentik-jentik yang diambil pada tangga salah satu blok flat tersebut.)
Keadaan Flat Taman Teluk Indah di Perai yang berbau busuk dan meloyakan dengan sampah sarap yang dibuang daripada tingkat atas. (Kanan: Mohd Wazir menunjukkan sampel air yang mengandungi jentik-jentik yang diambil pada tangga salah satu blok flat tersebut.)
A
A
A

PERAI - Bau busuk, meloyakan dan keadaan persekitaran menjijikkan dengan sampah sarap selain takungan air yang busuk. Itu lah keadaan di empat blok rumah pangsa di Taman Teluk Indah di sini yang dilihat tidak pernah berubah sejak puluhan tahun lalu.

Diberi gelaran flat paling kotor di Pulau Pinang, empat blok setinggi 20 tingkat itu juga dikategorikan sebagai lokaliti wabak apabila mencatatkan enam kes denggi sejak 6 November lalu sehingga Isnin.

Ketika operasi pemantauan khas di lokaliti wabak dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang yang turut disertai petugas media mendapati beberapa penduduk telah membuang sampah daripada tingkat atas tanpa rasa bersalah.

Antara barangan yang dibuang adalah batang jagung, lampin pakai buang, botol air dan sisa makanan yang sudah berulat.

Ketua Inspektorat Cawangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan di tingkat paling bawah keempat-empat flat tersebut mendapati ia dipenuhi sampah sarap.

Mohd Wazir (kanan) memeriksa lopak air di lantai flat dan mendapati ia mengandungi cacing halus.
Mohd Wazir (kanan) memeriksa lopak air di lantai flat dan mendapati ia mengandungi cacing halus.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, selain cacing halus dan tikus, hampir setiap tingkat juga ditemui jentik-jentik di lopak kaki lima dan anak tangga flat.

"Selain di tingkat paling bawah, kita mendapati setiap tingkat ada jentik-jentik. Jentik-jentik ini ditemui dalam lubang iaitu tapak pemegang besi pada tangga. Kesemua pemegang besi di keempat-empat blok ini dicuri dipercayai untuk dijual.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ia dikeluarkan, maka lubang tapak besi di anak tangga yang kosong itu mengandungi air bertakung, menyebabkan nyamuk membiak di situ. Keadaan ini akan mengundang jangkitan denggi dalam kalangan lebih 1,000 penduduk di sini," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, sekiranya kes denggi di kawasan tersebut tidak berkurangan dalam tempoh 30 hari, kawasan tersebut akan diisytiharkan sebagai kawasan berbahaya (hot spot).

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di keempat-empat blok tersebut memainkan peranan dalam memastikan kawasan kediaman mereka bersih.

"Kita sebagai pihak berkuasa memang sentiasa menjalankan operasi bersepadu namun apa yang lebih penting adalah sikap tanggungjawab penduduk kerana mereka menetap di sini.

"Termasuk hari ini, ini adalah kali keempat operasi dijalankan di sini. Selain itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang juga sudah tiga kali membuat pemantau namun keadaan masih sama. Jadi, apa lagi yang boleh kami lakukan?" katanya.

Pegawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang memeriksa lantai di bahagian bawah flat ketika operasi dijalankan.
Pegawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang memeriksa lantai di bahagian bawah flat ketika operasi dijalankan.

Tambah Mohd Wazir, lebih menyedihkan, beberapa pihak bersama Jabatan Kesihatan Pulau Pinang telah menganjurkan program gotong royong di flat tersebut namun terpaksa dibatalkan kerana tiada sambutan penduduk.

"Empat minggu lalu, kita ada menganjurkan sesi taklimat dan program gotong royong namun tiada sambutan daripada penduduk. Ia terpaksa dibatalkan. Kita sebagai pihak berkuasa hanya boleh membantu dari segi teknikal tetapi yang melaksanakan adalah penduduk.

"Difahamkan pihak pengurusan flat ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau penduduk yang membuang sampah tetapi keadaannya masih sama. Penduduk di sini 60 peratus adalah warga tempatan manakala bakinya warga asing yang menyewa," katanya.

Jelas beliau, isu di empat blok tersebut akan dibawa ke pihak pengurusan dan beberapa pihak berwajib untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Buat sementara ini, kita menyembur racun menggunakan 'mix blower' untuk menghapuskan larva iaitu jentik-jentik.

"Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara, apa yang lebih penting adalah usaha dalam memastikan tempat ini bersih tanpa sampah dan air bertakung. Jika masih kotor dan ada air bertakung, jentik-jentik tetap akan ada," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang telah membelanjakan hampir RM2 juta untuk membersihkan, membaiki lif dan membayar bil utiliti di flat tersebut dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!