Agrotourism Paya Laka, tarikan baharu daerah Rompin

Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Agrotourism Paya Laka di Kampung Sepayang, pada Isnin.
Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Agrotourism Paya Laka di Kampung Sepayang, pada Isnin.
A
A
A

ROMPIN - Projek Agrotourism Paya Laka di Kampung Sepayang di sini, bakal menjadi daya tarikan baharu dan dijangka mampu menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan pemandangan sawah padi di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) itu akan disiapkan melalui dua fasa dengan kos RM5 juta.

Menurutnya, projek Agrotourism Paya Laka turut melibatkan pembangunan resort di tengah-tengah bendang bakal memberi peluang kepada pelancong menikmati keindahan terutamanya pada musim padi.

Projek agrotourism di kawasan ini hasil cetusan idea bekas Pengerusi PKPP, Datuk Seri Hasan Ariffin dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

"Kerja-kerja pembangunannya akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan dan dijangka siap 12 bulan selepas proses tender selesai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di sini, pada Isnin.

Dalam majlis itu, Wan Rosdy turut mengumumkan berita baik sumbangan bantuan khas RM500 setiap seorang kepada 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka.

"Pembayaran bantuan khas kewangan ini dibuat PKPP melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd terus ke akaun peserta.

"Bantuan ini diharap dapat mengurangkan bebanan ditanggung para peserta dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

RTK Paya Laka berkeluasan 324 hektar adalah kawasan sawah padi yang diusahakan sejak tahun 1995 melibatkan 262 peserta.

Difahamkan, dalam tempoh 27 tahun penubuhan Projek RTK Paya Laka, bayaran saham kepada peserta mencecah lebih RM12.6 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!