Siti Bainun dimasukkan ke hospital akibat pneumonia, hempedu
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perbicaraan hari pertama bela diri, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella tahun lalu, ditangguhkan selepas Pengasas Rumah Bonda itu dimasukkan ke hospital akibat penyakit pneumonia dan hempedu.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, memohon untuk menangguhkan prosiding susulan anak guamnya menerima rawatan sejak 28 November lalu.
Semasa prosiding, Nur A'minahtul Mardiah berkata, Siti Bainun sepatutnya menyediakan pernyataan saksi namun ia tidak dapat dilakukan kerana sakit.
“Dia dijadualkan untuk menjalani dua rawatan iaitu pneumonia pada 3 Disember manakala pembedahan hempedu, lima hari kemudian.
“Bagaimanapun, rawatan radang paru-paru tidak dapat dilaksanakan kerana saluran pernafasannya tersumbat,” katanya.
Selepas pemeriksaan lanjut, Nur A'minahtul Mardiah berkata, pihak hospital mengesahkan rawatan perut dan ujian darah akan dijalankan pada Selasa, sama ada pembedahan hempedu dapat diteruskan atau sebaliknya.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.
Zahida: Mohon penjelasan, adakah tertuduh mengalami penyakit kronik sehingga memerlukan pembedahan atau sekadar sakit biasa?
Izralizam: Adakah pembedahan itu perlu dilakukan segera atau boleh ditangguhkan?
Nur A'minahtul Mardiah: Yang Arif, pembedahan perlu dilakukan segera kerana ia telah menjejaskan pernafasan Siti Bainun.
Izralizam: Jadi, saya minta doktor untuk sahkan perkara itu secara bertulis, kena terangkan apakah perkara-perkara yang menghalangnya untuk hadir ke mahkamah.
Selepas berpuas hati dengan penjelasan dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, mahkamah kemudiannya membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga Rabu.
“Berhubung penangguhan prosiding, saya kira ia tidak dapat dielakkan, mahkamah rekodkan perkara ini berdasarkan surat-surat pengesahan doktor, maka wajarlah kes ini ditetapkan ke tarikh lain,” katanya.
Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!