Dua pantai jadi lokasi pelancongan dalam bandar
KOTA BHARU - Pantai Kundur dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kini sedang dibangunkan sebagai pantai dalam bandar yang lengkap dengan kemudahan rekreasi.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Dr Izani Husin berkata, pembangunan tanah seluas 3.6 hektar itu sekali gus menambah bilangan lokasi pelancongan di negeri ini.
"Unit Perancang Bandar PBT kini dalam proses melakar landskap dan pembinaan dijangka awal tahun depan.
"Tempoh siap sepenuhnya tidak dapat dimaklumkan kerana pembangunan dan naik taraf dilakukan dari semasa ke semasa," katanya selepas Majlis Penghargaan Majlis Perbandaran Kota Bharu di sini, malam Ahad.
Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, kerajaan negeri mengenal pasti satu kawasan di Tanah Merah untuk dijadikan tapak pelupusan sampah baharu.
"Ia berikutan masalah tapak pelupusan sedia ada di Beris Lalang, Bachok yang tidak mencukupi.
"Kerajaan negeri sedia maklum masalah itu dan kita mencari jalan dengan menyediakan kawasan baharu," katanya
Menurut beliau, pada masa sama, kerajaan negeri mencari kaedah memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, Bachok.
Antara kaedah berkenaan ialah mencari barang yang boleh dikitar semula seperti kaca, kertas dan plastik.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, minggu lalu, Dr Izani turut memaklumkan kerajaan negeri juga usaha memanfaatkan sampah di kawasan terlibat dengan penghasilan biokompos dan lain-lain mengikut keperluan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!