KPDNKSH bertemu pemain industri minyak, telur
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) bakal mengadakan pertemuan bersama semua pemain industri minyak sawit dan telur bermula Selasa.
Menteri KPDNKSH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pertemuan secara empat mata itu perlu bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung krisis ketidakcukupan bekalan dua barangan keperluan itu.
"Saya telah menetapkan beberapa jadual untuk bertemu dengan pemain industri. Kita akan panggil semua dan yang terdekat (kita akan bertemu) pemain industri minyak sawit seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Sime Darby (Plantation Bhd) untuk dapatkan maklumat terkini tentang isu bekalan.
"Perjumpaan dengan pemain industri telur ayam pula mungkin hari seterusnya supaya saya dapat data dan perbincangan yang cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan Program Tinjauan Mesra (Walkabout) di pasar raya borong NSK Trade City di sini, pada Isnin.
Menurutnya, hasil daripada perbincangan tersebut akan meningkatkan hubungan kementerian bersama pemain industri, seterusnya menyelesaikan krisis bekalan barangan asas itu.
"Selama ini pun saya mendengar tentang isu-isu yang menjadi rungutan rakyat dan hari ini saya menyaksikan sendiri paling tidak pun ada dua isu besar yang saya mesti hadapi bersama dengan pasukan kementerian iaitu ketidakcukupan bekalan telur dan minyak masak peket.
"Ini menjadi tanggungjawab saya untuk saya melihat dulu secara holistik dan saya telah mendengar taklimat daripada pihak kementerian pagi tadi (Isnin) secara umum dan turun padang untuk melihat sendiri bekalan itu cukup atau tidak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!