Wanita ditahan cuba rempuh anggota, langgar kereta polis
BATU GAJAH - Akibat tekanan hidup, seorang wanita bertindak agresif cuba melanggar anggota dan merosakkan lima kenderaan polis sewaktu dikejar pihak berkuasa itu sejauh 65 kilometer (km) di sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 2.50 pagi itu, anggota Balai Polis Batu Gajah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pejabat Pos di sini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemandu berusia 39 tahun itu bertindak melarikan diri dengan memandu kenderaan menghala ke Gopeng.
"Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Batu Gajah, lima kereta peronda (MPV) Batu Gajah dan Kampar serta dua kenderaan dari Balai Polis Kuala Dipang dan Gopeng telah mengejar dan mengekori kenderaan suspek.
"Suspek memandu menghala ke Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar sebelum berhenti di jalan mati di Malim Nawar, Kampar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, ketika berada di jalan mati itu, suspek cuba melanggar seorang anggota polis ketika mengundur menyebabkan satu das tembakan dilepaskan pada tayar belakang kenderaan tersebut.
"Suspek bertindak memandu keluar daripada kepungan dengan melanggar beberapa kenderaan polis dan melarikan diri.
"Sampai di Kilometer 29 Jalan Ipoh-Lumut di Seri Iskandar, kenderaan suspek telah terhenti akibat mengalami kerosakan teruk pada enjin dan tayar.
"Suspek akhirnya berjaya ditahan sekitar jam 5 pagi namun pemeriksaan pada kenderaan tidak menemukan barang salah," katanya.
Tambah beliau, suspek dan kenderaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk tindakan lanjut.
"Siasatan lanjut mendapati suspek yang menetap di Lumut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif.
"Motif suspek bertindak lari daripada pemeriksaan dan melanggar kenderaan polis dipercayai kerana takut dan marah akibat tekanan hidup," katanya.
Mohamad Roy Suhaimi berkata, suspek direman selama lima hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!